KEPUTUSAN penuh saringan Covid-19 bagi pekerja kilang Top Glove, Klang dan penduduk sekitarnya dijangka diketahui esok.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata ujian oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap pekerja Top Glove serta penduduk selesai sepenuhnya semalam.
“Jadi kita memerlukan dua hari untuk mendapatkan hasil ujian semalam. Keputusan diterima berperingkat dan mereka yang jalani ujian awal sudah diterima.
“Sebaik menerima keputusan penuh, kita akan adakah perbincangan dengan PKD untuk tindakan lanjut terutama membabitkan saringan kali kedua,” katanya seperti dilaporkan Media Selangor.
Menurutnya, proses berkenaan berjalan lancar selepas semua pekerja dan penduduk memberi kerjasama penuh.
“Kita tidak alami sebarang masalah. Mereka faham kepentingan saringan ini sekali gus memudahkan pihak berkuasa,” katanya.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Top Glove Klang selepas Kementerian Kesihatan mengesan 215 kes positif Covid-19.
Susulan itu, seramai 5,700 pekerja serta 1,200 penduduk sekitar dikenakan PKPD selama 14 hari dan perlu menjalani saringan. – Malaysiapost

