PENDUDUK Sabak Bernam digemparkan dengan bunyi misteri ketukan pintu yang agak kuat sehingga mengejutkan mereka.
Ketukan yang masih menjadi tanda tanya penduduk itu turut berlaku di beberapa kampung sekitar daerah itu sejak kelmarin.
Bunyi dari ketukan itu juga menimbulkan persoalan dan misteri dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.
Difahamkan, gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi dan membabitkan beberapa kampung lain seperti Kampung Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.
Berdasarkan laporan BH, penduduk Kampung Batu 37, Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini, 38, mendakwa ketika berada di dapur rumahnya kira-kira jam 10.45 malam, dia terdengar bunyi ketukan pintu dapur.
“Bunyi ketukan itu kuat seperti seseorang mahu masuk ke dalam rumah dengan cepat.
“Apabila saya intai menerusi tingkap, tidak nampak sesiapa yang ketuk. Beberapa minit kemudian, bunyi ketukan itu kembali lagi dan ia datang dari bilik air dalam rumah.
“Kebetulan bilik air itu sudah lama tidak digunakan, jadi seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang sebaik dengar ketukan itu,” katanya.
Penduduk Kampung Tengah, Nor Zaihana Yaakob, 38, pula mendakwa turut mengalami pengalaman sama ketika berada dengan dua anak dan ibunya di rumah.
“Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja. Namun, sangkaan itu meleset apabila tiada siapa di luar rumah sewaktu saya menjenguk melalui tingkap.
“Seram jugalah dengan peristiwa ini. Tambahan pula, suami tiada di rumah kerana bekerja malam,” katanya.-Malaysiapost

