Aksi terakhir Hafizh bersama Aspar Team minggu ini

0
3

PUSINGAN terakhir musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2020 dijadual berlangsung di Grand Prix (GP) Portugal hujung minggu ini adalah aksi terakhir pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bersama pasukan Aspar Team.

Hafizh yang pada musim depan menyertai pasukan baharu, NTS RW Racing GP dalam saingan kelas pertengahan itu berkata, beliau tidak pernah beraksi di Litar Antarabangsa Algarve namun akan melakukan yang terbaik berbanding perlumbaan sebelum ini di Litar Valencia.

“Perlumbaan terakhir bersama pasukan. Saya tidak berlumba di Portimao tetapi saya menyifatkan ia (litar) seperti ‘rollercoaster’. Kami akan melakukan yang terbaik dan cuba menjadikannya satu hujung minggu yang lebih positif berbanding di Valencia,” kata Hafizh seperti dilapor BH.

Selepas 14 pusingan musim yang turut dihimpit isu pandemik Covid-19, Hafizh, 26, sudah mengumpul 21 mata untuk berada di tangga ke-21 keseluruhan dalam carta pelumba Moto2.

Pencapaian terbaik Hafizh setakat ini adalah meraih penamat di tempat keenam di GP Sepanyol, Julai lalu dan kesembilan di GP Republik Czech, pada bulan berikutnya.

Bagi saingan musim depan, Hafizh akan beralih ke casis NTS berbanding Speed Up yang digunakannya bersama pasukan Aspar. Hafizh yang dinaikkan ke kelas perdana MotoGP pada 2018 dan 2019, sebelum itu pernah menggunakan casis Kalex secara sepenuh musim dari tahun 2014 hingga 2017.

RW Racing GP adalah sebuah pasukan yang diasaskan oleh usahawan Roelof Waninge dari Belanda dan bekerjasama secara teknikal dengan pengeluar casis Jepun, NTS bermula pada tahun 2018. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here