Masih ramai degil tidak pakai pelitup muka

0
4

Muhammad Mustakim Ramli

TIDAK memakai pelitup muka dikesan kesalahan tertinggi ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke 247, semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada 289 individu yang ditahan, 108 didapati tidak memakai pelitup muka.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP lain termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal membabitkan 59 individu, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (51), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (33).

“Daripada 289 individu ini seramai 277 individu telah dikompaun manakala 11 individu pula direman dan seorang dijamin,” katanya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng, seramai 35 pendatang asing tanpa izin berjaya ditahan selain seorang penyeludup turut diberkas.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here