Semakan undang-undang tangguh PRK, PRU semasa krisis perlu dibuat

0
2

SUDAH tiba masanya semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil (PRK) ataupun pilihan raya umum (PRK) ditangguhkan semasa krisis.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata ini termasuk ketika krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara.

Bagi tujuan itu, katanya, satu peruntukan khusus boleh dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara.

“ERC kekal berpandangan ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ab Rashid berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong mengisytihar proklamasi darurat, sekali gus membatal dan menunda PRK Batu Sapi satu langkah tepat dan sesuai dengan keadaan yang wujud ketika ini, sekali gus mengekang gelombang keempat penularan Covid-19.

Katanya, ERC berpandangan sementara semua pihak harus menjunjung hak asasi diperuntukkan Perlembagaan, terutama dari sudut pilihan raya demokrasi, perlu juga keutamaan diberi bagi menjaga kebajikan rakyat dan pengundi.

Pada masa sama, mengambil segala tindakan yang perlu agar tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa akibat pandemik.

“Selain itu, ERC menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kerajaan Perikatan Nasional memberi jaminan PRK Batu Sapi akan diadakan segera “tertakluk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan” apabila pandemik Covid-19 berakhir.

“Ia membuktikan amalan pilihan raya demokrasi di negara ini akan terus terpelihara. Justeru, ERC yakin gelanggang pilihan raya yang adil akan disediakan apabila PRK membabitkan bahagian tersebut diadakan semula selepas Covid-19 berakhir,” katanya.

Ab Rashid berkata mengambil kira lima asas yang dikaitkan dengan keputusan membatal dan menunda PRK Batu Sapi, ERC yakin masa dan ruang yang ada ini akan membolehkan S
SPR memperkemaskan segala mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP).

Ini katanya bagi memastikan PRK semasa bencana termasuk di bahagian Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah kelak dapat diuruskan dengan efektif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here