PENGURUSAN Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pegawai perubatan yang memaki pesakit di laman sosial baru-baru ini.
Pengarahnya, Dr Mohtar Pungut, berkata pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara itu dengan lebih teliti.
Katanya, sekiranya didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pegawai perubatan terbabit.
“Kita memandang serius terhadap tindakan seorang pegawai perubatan yang menghamburkan kata-kata makian terhadap pesakit dalam laman sosial baru-baru ini.
“Sehubungan itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini dan tindakan akan diambil sekiranya didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial seorang pegawai perubatan memuat naik satu kenyataan berbaur cacian kepada pesakit yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat penyakit kanser.
Dr Mohtar berkata, pihaknya turut memohon maaf atas kenyataan dikeluarkan pegawai perubatan itu yang telah menyinggung perasaan masyarakat negara ini. -Malaysiapost


