Menteri kewangan bukan maksum – Zahid

0
3

Nurul Huda Abhar

[PARLIMEN] BELANJAWAN 2021 tentu ada kekurangan kerana Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz bukan maksum, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata Tengku Zafrul menunjukkan sikap terpuji apabila berunding dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung pengisian Belanjawan 2021.

“Menteri kewangan bukan maksum, jauh dari kesempurnaan, tentunya ada kekurangan dalam Belanjawan 2021.

“Namun, menteri kewangan berbincang dengan Ahli Parlimen kerjaaan dan pembangkang. Sikap terpuji ini kita alu-alukan, bahkan beberapa perubahan terus dilakukan bagi membawa negara keluar dari kepayahan ekonomi,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN- Pontian) yang mencelah dan bertanya berhubung had pengeluaran terbaru Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zahid bersetuju dengan perubahan kadar itu.

Presiden Umno itu juga menggesa Menteri Kewangan supaya memberi perhatian kepada rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 seperti pengusaha bas persiaran, bas sekolah dan bas pelancongan.

Beliau juga mahu kerajaan memberi perhatian terhadap mereka yang membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman berlesen yang tidak diberikan moratorium.

Katanya, kerajaan wajib melaksanakan rancangan pemulihan ekonomi kerana rakyat mahu merasakan mereka bukan saja diberikan ikan malah mata kail.

“Kail inilah yang diharapkan kumpulan B40, M40 dan jangan lupa T20 yang banyak menyumbang.

“Syarikat pinjaman berlesen turut menekan peminjam sewa beli. Saya menyokong disegerakan akta kredit pengguna,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here