Lebih 1,000 usahawan PUNB ‘diselamatkan’ menerusi moratorium, peruntukan khas

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) yakin lebih 1,000 usahawan Bumiputera boleh ‘diselamatkan’ menerusi peruntukan khas berjumlah RM230 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata peruntukkan itu bagi membantu usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang memperoleh pendapatan tahunan RM300,000 yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

“Sebelum ini usaha yang kita lakukan dengan memberi moratorium bukan sahaja moratorium pinjaman malah untuk premis PUNB yang disewa juga turut kita berikan moratorium iaitu membabitkan 288 premis.

“Moratorium ini diberikan sehingga Disember ini dan sekiranya masalah pandemik Covid-19 ini berterusan kita akan melanjutkan lagi tempoh moratorium ini dan kita jangka ia memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut Noh berkata, penting bagi PUNB membantu syarikat usahawan IKS di mana, mereka mempunyai pekerja yang ramai dan jika dibiarkan akan menyebabkan mereka kehilangan kerja dan menambah masalah pengangguran dalam negara.

“Setakat ini perancangan PUNB dalam menghadapi Covid-19 berdasarkan Belanjawan 2021. Jika sampai bulan enam tahun depan masalah ini masih ada tidak mustahil kita akan panjangkan lagi tempoh moratorium,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata tumpuan PUNB ketika ini adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan baru dalam kalangan graduan dengan kerjasama membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah dilakukan, baru-baru ini.

“Ia program mentor mentee, di mana senarai peserta ini akan diberikan oleh KPT dan mereka juga digalak mencari syarikat untuk mereka kursus selama lapan bulan dengan RM1,200 akan dibiayai oleh KPT selama tiga bulan dan selebihnya oleh PUNB.

“Kursus ini berbeza, di mana ketika berkursus tiga bulan pertama graduan ini akan dinilai oleh majikan sama ada layak atau tidak untuk menguruskan perniagaan. Jika tidak layak kita tidak akan sambung.

“Kalau graduan ini nampak berkebolehan, PUNB akan sambung dan apabila tamat kursus, majikan dapat memberi jaminan untuk graduan ini membuka cawangan baru dan graduan ini tidak lagi makan gaji.

“Graduan ini buka cawangan baru yang menjadi miliknya..dia jadi usahawan tetapi menggunakan jenama syarikat induk. PUNB akan beri pinjaman kepada graduan ini. Ia seakan-akan francais,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here