Tindakan Agong tepat, mahkamah tidak perlu layan pihak pencabar – Nazri

0
2

[PARLIMEN] KEPUTUSAN Yang di-pertuan Agong menolak nasihat pengisytiharan darurat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 adalah tepat dan betul.

Datuk Seri Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) berkata, tindakan mahkamah ‘melayan’ pihak yang mencabar keputusan Agong itu bercanggah dengan peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan Agong adalah keputusan tepat dan betul kerana apa yang dilakukan oleh baginda adalah merupakan kuasa yang diberikan kepada baginda untuk berbuat demikian di bawah perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan).

“Agong mempunyai kuasa budi bicara di bawah perkara 158, iaitu jika mana-mana dalam hal puas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan konklusif tak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Tiada mahkamah boleh melayan.

“Mahkamah sepatutnya ‘straight away’, yang mempertikai Agong sepatutnya awal-awal ditolak,” katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, seorang peguam memfailkan saman pemula berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Saman itu difailkan Syed Iskandar Syed Jaafar di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.

Sementara itu, Nazri berkata negara tidak perlu mengisytihar darurat bagi menghadapi penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, tidak hanya Malaysia berdepan dengan pandemik itu, bahkan seluruh dunia menghadapi situasi.

“Bagi saya kita tak perlu ada darurat, Malaysia bukan satu negara hadapi Covid-19, bahkan seluruh dunia.

“Jadi maknanya mungkin ada satu dua negara dalam dunia mengisytihar darurat yang mencatatkan satu hari berpuluh ribu seperti Sepanyol,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here