Fitri Nizam
DAP menggesa semua parti politik untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik ketika negara masih berada dalam gelombang ketiga pandemik Covid-19.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan En, berkata pemergian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman mengundang PRK dalam masa 60 hari.
Katanya, ia boleh menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan awam ketika Malaysia masih berada di tengah-tengah lonjakan tinggi jangkitan Covid-19.
“Walaupun berada di sebelah pihak berlawanan, Hasbullah telah berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai ahli parlimen dan kepada rakyat di kawasannya.
“Sebagai pengiktirafan khidmat beliau dan bahawa Malaysia berada dalam gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang teruk, seharusnya tidak ada pertandingan dalam pilihan raya kecil oleh parti-parti untuk melawan Umno,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Guan Eng dalam pada itu mewakili DAP merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hasbullah yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.
Beliau juga berkata, keselamatan awam harus didahulukan dan menjadi keutamaan berbanding politik dan pilihan raya.
“Orang ramai tidak dapat melupakan lonjakan jangkitan Covid-19 setelah Sabah terpaksa mengadakan pilihan raya umum kerana politik wang yang tidak bertanggungjawab dan cubaan membeli Adun untuk merampas hak rakyat untuk memilih kerajaan negeri mereka sendiri.
“Seharusnya kita perlu berhenti bermain politik pilihan raya sehingga bahaya dan risiko yang ditimbulkan oleh Covid-19 berakhir,” katanya. -Malaysiapost

