Wanita PH kecam tindakan Zailah dedah identiti anak mangsa bunuh

0
3

Wanita Pakatan Harapan (PH) mendakwa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff bersikap cuai apabila memuat naik gambarnya bersama anak mangsa kepada kes pembunuhan baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media, Wanita PH berkata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu tidak bertanggungjawab apabila mendedahkan identiti remaja berkenaan di media sosialnya.

Mereka berkata, tindakan Siti Zailah itu bercanggah dengan peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 yang digubal bagi melindungi kebajikan dan keselamatan golongan terbabit.

“Tindakan berkongsi gambar beliau menziarahi kanak-kanak tersebut – yang merupakan anak kepada mangsa pembunuhan baru-baru ini – tular di media sosial dan media arus perdana sehingga nama dan gambar kanak-kanak terbabit dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia bertarikh 5 Ogos 2020,” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh; Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah dan Ketua Wanita DAP, Chong Eng.

Semalam Siti Zailah menziarahi seorang remaja yang juga anak kepada mangsa bunuh yang menarik perhatian ramai baru-baru ini.

Lawatan itu dirakamkan dalam salah satu hantaran di Instagram Siti Zailah. Ia bagaimanapun dipadam.

Wanita PH berkata, sebagai seorang pemimpin di sebuah kementerian yang menjadi pemegang taruh utama untuk isu kebajikan wanita dan kanak-kanak, Siti Zailah sepatutnya lebih peka dengan keperluan menjaga identiti remaja terbabit.