Fitri Nizam
BANYAK yang tak betul dengan penerangan KWSP yang bandingkan pengeluaran skim persaraan Superannuation atau “Super” negara Australia bagi mereka yang terdesak untuk Covid, kata Datuk Seri Najib Razak.
Menjawab penerangan diberikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bekas Perdana Menteri itu berkata, skim “Super” Australia bukan dikendalikan oleh badan kerajaan seperti KWSP.
Katanya, seperti Amerika Syarikat, pencarum Australia perlu memilih skim yang mahu dicarum mereka.
“Sebab itu, kerajaan Australia tidak boleh lakukan apa yang saya sarankan iaitu kerajaan Malaysia memberi projek lumayan kepada KWSP dan menukar struktur dividen kepada sistem berperingkat supaya pencarum yang ada baki simpanan rendah boleh dipulihkan dengan lebih laju.
“Skim pengeluaran Australia bukan hanya terhad kepada mereka yang sudah hilang kerja seperti diterangkan KWSP, malah, syarat untuk mengeluarkan duit adalah lebih longgar.
“Cuma perlu beritahu bahawa pendapatan mereka sudah berkurang 20 peratus akibat Covid-19,” katanya sambil memberikan pautan laman rasmi kerajaan Australia.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, biarpun gaji Australia lebih tinggi berbanding gaji di Malaysia dan AUD10,000 tidak boleh dibandingkan dengan RM10,000, tetapi beliau percaya kebanyakan pencarum Australia juga tidak peduli jika pendapatan mereka selepas bersara berkurang.
“Lagipun, tiada sesiapa yang kata wang yang dikeluarkan hari ini tidak boleh ditambah balik oleh pencarum selepas krisis Covid-19 berakhir,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata, skim i-Lestari juga tidak boleh dibandingkan dengan skim pengeluaran Australia kerana skim itu cuma untuk Akaun 2 KWSP yang menyimpan 20 peratus daripada jumlah caruman sedangkan skim Australia membenarkan pengeluaran AUD10,000 daripada seluruh simpanan.
“Skim Australia membayar secara one-off. Bukan berdikit-dikit setiap bulan seperti skim i-Lestari dan i-Sinar KWSP.
“Pengeluaran “lump-sum” inilah yang paling diperlukan oleh pencarum Malaysia yang terdesak.
“Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah melonggarkan syarat untuk pengeluaran skim persaraan mereka sebagai usaha melawan Covid-19,” katanya.
Beliau berata, negara-negara membangun seperti Peru dan Chile juga telah melaksanakan skim pengeluaran Covid-19 yang sama. – Malaysiapost

