Menteri agama terkejut Salah positif Covid-19

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memang dikenali sebagai penyokong kuat Liverpool, juara Liga Perdana Inggeris 2019/2020.

Jadi tidak hairanlah berita pemain bintang Liverpool, Mohamed Salah disahkan positif Covid-19 ketika bersama skuad kebangsaan Mesir amat mengejutkan beliau.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata beliau mendoakan agar Salah segera sembuh.

“Menjadi kelaziman hujung minggu jika ada masa lapang, saya menonton Astro Arena. Agak terkejut bila tahu Mohamed Salah positif Covid-19. Saya doakan beliau segera sembuh,” katanya.

Dr Zulkifli turut berharap skuad Harimau Malaya turut dipelihara daripada sebarang musibah dan kekal sihat seperti seadanya,” katanya.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Mesir berkata Salah disahkan positif Covid-19 susulan ujian swab dijalankan ke atas semua pemain skuad kebangsaan negara itu.

Menurutnya, Salah tidak menunjukkan sebarang simptom dan telah menjalani kuarantin.

Situasi itu memberi satu lagi ‘tamparan’ buat Liverpool selepas kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan.

Antaranya Virgil van Dijk, Fabinho, Thiago, Trent Alexander-Arnold, Alex Oxlaid Chamberlain dan Joe Gomez.

Salah kemungkinan besar tidak akan diturunkan apabila juara bertahan Liga Perdana itu menentang pendahulu liga, Leicester City pada awal pagi 23 November ini di Anfield. – Malaysiapost