Tuduhan, kenyataan PKR tidak berasas – Pejuang

0
2

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan tuduhan PKR bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad menghalang usaha mengembalikan mandat rakyat adalah kenyataan yang gelojoh dan tidak berasas sekali.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin, berkata umum tahu bahawa punca langkah ‘Sheraton’ terjadi adalah kerana pengkhianatan dari kem Datuk Seri Azmin Ali serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika Tun Dr Mahathir mahu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beliau sebenarnya adalah calon Perdana Menteri PN.

“Namun, Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan beliau bersedia dibuang dari parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat rakyat dan mengotakan janji kepada komponen Pakatan Harapan(PH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, andai Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan, Bersatu dan kumpulan Azmin Ali waktu itu tetap akan keluar daripada PH dan tetap akan menyebabkan Kerajaan PH jatuh.

“Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi, beliau sendiri memberitahu angka ini tidak termasuk Pejuang.

“Hakikatnya PKR terlebih awal tidak mahu bekerjasama dengan pihak Pejuang dan lebih memeranjatkan sanggup bersekongkol dengan Umno termasuk beberapa ahli politik kleptokrat.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagaimana tuduhan dilemparkan kepada pihak Dr Mahathir dan Pejuang sedangkan pihak Anwar Ibrahim sendiri tidak membincangkan soal sokongan.

“Jika diamati kenyataan yang dibuat Tun baru-baru ini, jelas ia tiada kena mengena dengan Langkah Sheraton dan hanya merujuk kepada pengalaman sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-4.

“Kenyataan ini adalah konsisten dengan apa yang ditulis dalam buku Doktor Umum.

Namun begitu, pada akhirnya, Tun tetap serahkan kepada umum untuk menilai sendiri prestasi beliau.

“Pembangkang seharusnya berhenti berkelahi terutamanya mengenai perkara yang begitu trivial dan kecil.

“Cari titik tengah persamaan, gembleng usaha dan bekerjasama menolak kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat,” tegasnya. – Malaysiapost