APMM usir 40 bot nelayan Indonesia

0
2

Nilam Oshman

AGENSI Penguatkuasa Maritim Malaysia(APMM) Negeri Perak berjaya mengusir 40 bot nelayan Indonesia selepas  menceroboh perairan Pulau Jarak, Lumut semalam.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, kesemua bot tersebut dikesan ketika Kapal Maritim Rawa sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan  mendapati kesemua bot tersebut adalah bot nelayan tradisional Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“KM Rawa memberi amaran keras kepada bot-bot tersebut dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia.

“Kesemua bot nelayan Indonesia itu diiring  hingga ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik menceroboh perairan negara,” katanya menerusi Facebook APMM, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dari 18 Mac 2020 hingga sekarang sejumlah 199 bot nelayan Indonesia telah diusir keluar dari perairan Malaysia selepas kesemuanya dikesan menceroboh dan menangkap ikan di perairan Perak.

“Dalam tempoh ini, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia adalah untuk menyekat penyebaran wabak Covid-19 menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan Covid 19 di kalangan rakyat Malaysia.

“Aset-aset Maritim Negeri Perak akan terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya di titik-titik panas berhampiran persempadan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat PATI dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri Perak,” tegasnya.  -Malaysiapost