Mayat reput dalam pacuan empat roda

0
3

MAYAT seorang lelaki ditemui reput dan kering dalam sebuah pacuan empat roda di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibung, Ajil, Hulu Terengganu kira-kira jam 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, mayat lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai penagih dadah, ditemui penternak lembu berusia 50 tahun yang sedang mencari ternakannya di ladang berkenaan.

Katanya, ketika ditemui mayat itu berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan reput dan kering.

“Kita percaya lelaki berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil, di sini, meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Hasil siasatan awal, katanya, polis percaya lelaki itu adalah suspek yang diburu bersabit kes curi sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Beliau memaklumkan, kenderaan itu dilarikan ketika berada dalam pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, tiga minggu lalu.

Katanya, lelaki itu melarikan kenderaan milik abang iparnya yang membawanya ke IPD berkenaan untuk diserahkan kepada polis berkaitan kes penyalahgunaan dadah.

“Ketika abang iparnya berada di dalam balai, lelaki itu yang ditinggalkan dalam kenderaan berkenaan bertindak melarikan pacuan empat roda terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan penemuan mayat lelaki dan kenderaan terbabit, kes curi pacuan empat roda itu dianggap selesai.

“Polis masih menjalankan siasatan bersabit kes penemuan mayat berkenaan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Malaysiapost