PESAKIT Covid-19 yang mengambil tempoh paling lama dirawat di hospital kerana individu terbabit menghidapi komplikasi kesihatan lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, pesakit warga tempatan paling lama dirawat adalah sehingga 98 hari, manakala warga asing 108 hari.
“Berbanding ketika permulaan Covid-19, terdapat pesakit yang menunggu sehingga hari ke-73 sebelum dibenarkan keluar kerana Kementerian Kesihatan (KKM) menunggu keputusan negatif terlebih dahulu.
“Pesakit yang berada lama di hospital dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berdepan dengan komplikasi seperti jangkitan kuman, pembekuan darah dan sebagainya.
“Dua individu yang paling lama dirawat sudah pun keluar dari hospital,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kes pesakit Covid-19 paling lama di Britain yang dirawat di hospital selama 222 hari.
Kata Dr Noor Hisham, pesakit itu turut berdepan komplikasi lain seperti pembekuan darah di jantung. – Malaysiapost

