29 anggota Geng TCB 21 belum didakwa, polis tegaskan ada cukup bukti

0
2

KERTAS siasatan 29 individu dipercayai ahli kumpulan jenayah terancang dikenali Geng TCB 21 yang ditahan di Banting dan Dengkil, sebulan lalu, telah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata geng berkenaan disyaki terlibat dalam kejadian tembak di Banting, September lalu.

Susulan kes tembak itu, katanya, JSJ Bukit Aman dan Selangor menahan 29 ahli geng tersebut mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (KK) pada 13 dan 14 Oktober lalu.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan tahanan selama 28 hari.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka di bawah Seksyen 130V KK,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Huzir berkata, hasil siasatan mendapati Geng TGC 21 merupakan kongsi gelap haram yang aktif melakukan jenayah serius seperti cubaan bunuh menggunakan senjata api.

Selain melepaskan tembakan dalam rusuhan berkumpulan, merompak, melakukan khianat dengan membakar kereta, melakukan pemerasan dan mencederakan mangsa.

“Polis mempunyai keterangan mencukupi untuk mengambil tindakan pencegahan jenayah atas kumpulan ini di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.

Dalam kejadian 25 September lalu, seorang peniaga dan pengawal peribadinya cedera parah selepas ditembak beberapa kali berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting.

Kejadian itu menyebabkan beberapa pelajar cedera ketika kereta mangsa hilang kawalan apabila serangan berlaku dan merempuh pelajar terbabit.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa polis membebaskan 25 individu terbabit yang ditahan kira-kira sebulan tanpa didakwa di mahkamah.

Charles mendakwa polis enggan membebaskan mereka walaupun dua majistret sebelum ini menolak permintaan untuk perintah tahanan reman.

“Dan ironinya, Majistret Petaling Jaya baru-baru ini memerintahkan pembebasan mereka. Tetapi polis berkeras tidak mematuhi perintah mahkamah.

“Orang-orang ini ditangkap kerana pelbagai kesalahan jenayah yang tidak mereka lakukan, dan tidak pernah didakwa,” katanya.

Beliau menambah, keluarga suspek berasa sedih dengan penahanan dalam tempoh yang lama, terutama ketika mereka akan merayakan Deepavali esok.

“Salah seorang ibu, saya diberitahu, mengancam untuk membunuh diri jika anaknya tidak dibebaskan pada Sabtu, hari pertama pesta cahaya,” katanya. – Malaysiapost