Sarah Hildebrand tidak akan henti sebar kesedaran jenayah buli siber

0
4

HANTARAN di laman Instagram (IG) pelakon, Sarah Hildebrand telah dipadam pihak IG kerana didakwa melanggar polisi, selain menyebar kebencian dalam kalangan masyarakat.

Ini selepas pelakon berdarah kacukan itu telah memuat naik satu catatan mengenai jenayah buli siber yang mana dirinya antara mangsa tindakan tidak bermoral itu.

Menurut Sarah atau nama sebenar Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 30, dia tidak akan berhenti bercakap dan membincang tentang isu buli siber yang kini semakin membarah dalam kalangan pengguna media sosial.

Pelakon drama ‘Pujaan Hati Kanda’ itu turut beranggapan kemungkinan isi kandungan catatan yang dimuat naik di IGnya agak sensitif sehingga terdapat pengikut yang membuat laporan.

“Dalam hantaran yang dipadam itu saya berkongsi tentang pengalaman diri sendiri yang pernah dibuli segelintir orang Melayu. Saya juga cakap orang Melayu boleh jadi sangat jahat.

“Mungkin ada yang tidak suka perkongsian itu dan menganggapnya sensitif, jadi mereka buat laporan terhadap pihak Instagram dan akhirnya dipadam,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! hari ini.

Model iklan dan muzik video itu memberitahu tidak bermaksud mengeruhkan keadaan tetapi hanya ingin masyarakat membuka mata keadaan perasaan benci yang kini semakin parah dalam kalangan pengguna media sosial khususnya masyarakat Melayu.

Sarah berkata, tindakannya memuat naik hantaran tersebut telah disalah tafsir kerana niat mahu mengurangkan sifat benci dalam kalangan pengguna media sosial.

Mengulas lanjut, isteri kepada Otto Gillen itu menyatakan walaupun ramai tidak berpuas hati dengan cara penyampaiannya di laman IG, itu tidak bermakna dia akan berhenti menyebarkan kesedaran kepada orang ramai.

“Mana tahu usaha kecil saya akan mengubah cara orang lain berfikir sebab niat saya baik.

“Apa-apapun, syukur saya tidak mengalami kemurungan, biasalah netizen tidak berhenti mengecam sejak isu saya buka tudung,” ujarnya.

Sebelum ini Sarah menerima kecaman hebat netizen selepas memuat naik gambar bersama suami di IG tanpa mengenakan tudung.

Selain itu, suaminya membuat kenyataan di IG Story menyokong keputusan peribadi Sarah yang tidak mahu lagi bertudung.

Sarah mengambil keputusan untuk mengenakan tudung pada 2015 sebelum tidak lagi mengenakannya awal Oktober lalu. – Malaysiapost