Annuar tempelak Teresa

0
3

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menempelak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana mempersoalkan tindakannya membenarkan peniaga berniaga di seluruh ibu kota.

Beliau berkata, peniaga kecil di tepi jalan juga berhak untuk mendapat bantuan lebih-lebih lagi ketika mereka berdepan kesempitan akibat wabak Covid-19.

Annuar berkata, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu kononnya dia mahu menjadikan Wilayah Persekutuan seperti Parlimen Ketereh di Kelantan merupakan satu penghinaan kepada penduduk di kawasannya itu.

“MP Seputeh sewaktu perbahasan telah menghina rakyat Ketereh, kononnya dengan saya membenarkan rakyat mudah berniaga saya nak menjadikan KL macam Ketereh.

“Saya nak ingatkan beliau, KL bukan hanya untuk peniaga gedung besar. Penjaja kecil tepi jalan juga berhak, apalagi waktu rakyat susah,” ciapnya menerusi laman Twitter, hari ini.

Teresa dalam sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini berasa hairan dengan kenyataan Annuar yang mahu menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai wilayah bebas berniaga.

Menurut Teresa, kenyataan Anwar itu seolah-olah Wilayah Persekutuan ini adalah kawasan Parlimen Ketereh di negeri Kelantan di mana sesiapapun boleh berniaga di mana-mana sahaja.

Annuar dua hari lalu memberitahu, insiatif ‘Wilayah Bebas Berniaga’ dibuat bagi membolehkan warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Insiatif tersebut dikhususkan kepada warganegara Malaysia saja dan penduduk Wilayah Persekutuan dibenarkan berniaga termasuk makanan, pakaian dan apa saja jenis perniagaan bermula Ahad ini sehingga 15 April tahun depan. – Malaysiapost