Moratorium, KWSP: Ramai bingung kenapa Umno dan BN konsisten

0
3

UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa konsisten berhubung isu melanjutkan tempoh moratorium dan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata ramai yang bingung mengenai dua isu berkenaan dan sering bertanya kenapa pimpinan Umno dan BN konsisten terhadap isu itu.

“Walaupun saya bukan ahli Parlimen atau Adun tetapi sebagai pemimpin kecil dalam parti, saya konsisten dengan pendirian pentingnya kerajaan mengambil pendekatan moratorium untuk dilanjutkan secara keseluruhan dan pengeluaran KWSP RM10,000.

“Harus ingat jika bersasar, banyak akan ‘effect’ jika kerajaan tidak membantu mereka terutama pemilik kedai dan penyewa.

“Jika pemilik tidak dapat moratorium, penyewa akan ditekan untuk buat bayaran penyewaan. Bila peniaga tidak dapat mencapai jualan untuk bayar sewa sehingga perlu tutup kedai maka pekerja akan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, apabila ramai hilang punca pendapatan, dikhuatiri akan ada yang disenarai hitam dan kemudian mungkin bankrap.

“Pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 adalah langkah untuk mewujudkan ekonomi domestik rakyat. Jika ia dilaksanakan, mereka ada peluang memulakan perniagaan kecil secara online atau peniagaan seperti kedai burger dan minuman.

“Ia membantu terutama pada mereka yang kehilangan kerja. Kerana itu kepimpinan parti konsisten dalam isu moratorium dan KWSP ini. Kita doakan ia dipertimbangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – Malaysiapost