Saya tahu macam mana Dr Noor Hisham kerja – Timbalan Menteri

0
3

TIMBALAN Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membidas sikap segelintir pihak yang mempersoalkan kredibiliti dan komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam menangani penularan Covid-19.

Jelas beliau, Dr Noor Hisham antara individu paling komited dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjaga sejak menularnya wabak berkenaan, Februari lalu.

“Saya terkejut apabila ada individu tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik tergamak mempertikaikan kredibiliti serta pengorbanan KP Kesihatan dalam membanteras wabak Covid-19 di negara ini.

“Jika kita merujuk kepada frontliners (barisan hadapan), Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus Covid-19 selama ini.

“Beliau telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya menjaga aspek kesihatan rakyat dan bukan hanya ketika Covid-19 melanda sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” dikeluarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

King Sing mempersoalkan mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, beliau bukan sahaja menyokong Dr Noor Hisham disebabkan bersama dalam Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebaliknya, kerana tahu bagaimana Ketua Pengarah Kesihatan itu bekerja, menjalankan tanggungjawab dan amanahnya setiap hari untuk memastikan wabak maut itu dapat dihapuskan di negara ini.

“Kami di KKM termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham setiap hari mesyuarat, bincang dan bertukar idea seawal jam 8 pagi hingga lewat petang mencari penyelesaian membanteras penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pastinya menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain.

“Jadi tindakan pihak tertentu mempertikai amanah yang dlaksanakan beliau adalah tidak bertanggungjawab serta tak masuk akal,” katanya. – Malaysiapost