Fitri Nizam
TIDAK timbul isu takut mati atau tidak kerana sebagai orang Islam kita terima kematian itu ada di mana-mana, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat perancangan khusus untuk negeri Sabah sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.
“Saya sendiri telah turun iaitu pada akhir bulan Ogos lalu dan melihat kepada pengurusan iaitu kesiapsiagaan KKM untuk PRN Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mengatakan bahawa Dr Noor Hisham ‘takut mati’ kerana tidak ke Sabah.
King Sing berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham lagi, beliau juga turut mengarahkan timbalannya, Datuk Dr Chong Chee Keong dan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood untuk ke Sabah minggu lalu bagi melihat proses pengurusan Covid-19 dan isu-isu yang timbul.
“Jadi tidak timbul isu kita takut mati, jadi kalau kita lihat sebagai orang Islam kita terima kematian itu di mana-mana saja akan berlaku bukan hanya turun padang atau tidak.
“Apa yang penting ialah kita pasangkan niat utk melaksanakan tugas kita. Niat kita adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara dan inilah tujuan utama kita,” katanya.
Beliau berkata, perselisihan pendapat adalah perkara biasa namun kepentingan harus diletakkan untuk memutuskan rantaian Covid-19.
“Supaya dapat selamatkan negara daripada peningkatan kes Covid-19 dan kadar kematian,” katanya. -Malaysiapost

