Azalina tegur Tengku Zafrul, timbalan tiada dalam Dewan Rakyat

0
2
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

[PARLIMEN] MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dua timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Mohd Shahar Abdullah mesti berada di Dewan Rakyat ketika ahli Parlimen membahaskan Belanjawan 2021.

Teguran itu dibuat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman, hari ini.

Azalina mengingatkan kerajaan bahawa belanjawan merupakan perkara penting dan perlu diberi perhatian.

“Saya nak minta menteri atau timbalan menteri yang ada dua orang tolong duduk dalam dewan apabila perbahasan dilakukan ahli Parlimen,” katanya pada akhir sesi persidangan, hari ini.

Timbalan Speaker itu menjelaskan, beliau bersetuju dengan soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang ingin tahu di mana menteri kewangan atau timbalannya berada ketika sesi berlangsung.

“Saya setuju dengan apa dikatakan Rayer sebelum ini dan saya percaya sama ada menteri kewangan (Tengku Zafrul) atau timbalannya harus berada di sini untuk mendengar perbahasan belanjawan.

“Saya tahu semua orang sibuk tetapi belanjawan adalah isu penting. Namun, saya tidak melihat ada menteri di sini.

“Para penyokong kerajaan perlu sampaikan hal ini kepada mereka,” katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong Perikatan Nasional (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim mencelah dan memaklumkan bahawa beliau difahamkan menteri dan timbalannya menghadiri mesyuarat.

Sebelum itu, Rayer membangkitkan hal sama kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, yang menjelaskan tiada peruntukan mewajibkan menteri atau timbalannya mesti berada di Dewan Rakyat ketika perbahasan belanjawan yang telah dibentangkan. -Malaysiapost