MKN keluarkan SOP sambutan Deepavali PKPD, PKPB

0
3

Fitri Nizam

UPACARA ibadat di kuil yang terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan sama sekali ketika sambutan perayaan Hari Deepavali.

Dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sambutan Deepavali hanya dibenarkan disambut seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja.

Aktiviti ziarah menziarahi juga tidak dibenarkan.

Selain itu, amalan pemakaian pelitup muka turut digalakkan dipakai oleh ahli keluarga atau individu ketika sambutan dilaksanakan.

Menurut SOP baharu itu lagi, aktiviti ekonomi pra perayaan termasuk jualan dan perniagaan tidak dibenarkan namun jualan secara dalam talian adalah digalakkan.

Bagaimanapun, menurut MKN, upacara ibadah di kuil yang terletak dalam lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Antara lain, upacara sembahyang hendaklah dilakukan tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang kuil dengan penjarakan fizikal.

Selain itu, manisan harus diagihkan secara berbungkus kepada penganut dan terus bersurai selepas upacara selesai.

Bagi sambutan perayaan di rumah pula, hanya 20 orang saja dibenarkan berkumpul pada satu-satu masa untuk rumah atas tanah manakala rumah pangsa pula tidak melebihi 10 ke 15 orang mengikut saiz keluasan kediaman.

Aktiviti jualan dan perniagaan hanya di premis yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau mana-mana pihak berkuasa lain sahaja. – Malaysiapost