MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berharap inisiatif ‘Wilayah Bebas Berniaga’ (WBB) akan dilaksanakan dengan baik.
Beliau berkata, pihaknya sudah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membuat arahan bertulis kepada pihak berkuasa tembatan (PBT) berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Saya telah minta KSU KWP membuat arahan bertulis kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putra Jaya (PPj) dan Perbadanan Labuan agar WIBB dilaksana seluruh Wilayah Persekutuan dengan baik.
“Saya juga minta PBT berkenaan sediakan talian dan kaunter untuk melayani pertanyaan dan permohonan dengan efisyen. Perlu norma baru dalam bertugas,” katanya di Facebook, hari ini.
Semalam, Annuar mengumumkan Wilayah Persekutuan akan menjadi ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama enam bulan bermula 15 November ini.
Beliau berkata, inisiatif itu dibuat bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia saja.
Annuar berkata, menerusi inisiatif baharu ini, penduduk Wilayah Persekutuan dibenarkan berniaga termasuk makanan, pakaian dan apa saja jenis perniagaan sehingga 15 April tahun depan.
“Kementerian Wilayah Persekutuan sudah berbincang dan mengambil inisiatif ini untuk membantu ringankan beban penduduk,” katanya. -Malaysiapost

