AHLI Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Maria Chin Abdullah disifatkan ‘bebal’ susulan tindakannya keluar dewan ketika Datuk Seri Najib Razak berbahas di Parlimen, semalam.
Kenyataan keras itu dikeluarkan Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman yang turut menyatakan adalah lebih baik Maria Chin meletakkan jawatan.
“Bebal apa laa YB seorang ni. Daripada kau walk out baik kau resign,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Dalam ciapan berasingan, Syed Badli Shah menjelaskan isu Ahli Parlimen bebal itu adalah kerana dia gagal memahami situasi politik semasa.
“Yang kita lawan hari ini bukan Najib yer (ya)… bukan Najib.
“Yang kita lawan adalah kerajaan yang bobrok dan pincang. Mereka yang masih memegang kuasa melalui pintu belakang, yang kau sibuk nak protes Najib buat apa. Dia dah tak ada kuasa apa-apa.
“Kes dia biar mahkamah tentukan. Kalah di Mahkamah Tinggi, kini ke Mahkamah Rayuan namun kes masih berjalan. Kalau akhirnya dia bersalah, biarlah dia dijatuhi hukuman. Kenapa kau pula yang meroyan,” katanya.
Beliau turut meminta Ahli Parlimen supaya fokus isu semasa dan kesusahan rakyat bukan menyusahkan rakyat.
Semalam, Maria Chin keluar dewan ketika Najib membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat.
Menerusi ciapan di Twitternya, Maria berkata beliau berbuat demikian sebagai protes kerana mendakwa seolah-olah tiada apa yang berlaku bagi bekas Perdana Menteri itu di sebalik kes rasuahnya di mahkamah.
“Najib Razak telah disabitkan bersalah dalam kes rasuah. Tapi hari ini, beliau hadir sebagai Ketua BBC (Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional.
“Dan berbahas belanjawan 2021 seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Saya protes dan sudah ‘walk out’,” katanya. – Malaysiapost

