Tanah runtuh: Dua mangsa terperangkap disahkan maut

0
2

DUA mangsa tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun di Ipoh, ditemui maut di bilik jakuzi resort itu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Goh Boon Keng berkata, mangsa lelaki dan wanita berusia 30-an itu ditemui pada jam 9.55 pagi dan identiti mereka sedang dikenal pasti.

“Villa ini sememangnya mempunyai jakuzi tersendiri di dalam bilik dan bilik jakuzi berasingan dengan bilik air.

“Kedua-dua mangsa ditemui duduk berdekatan, selang lima minit. Mereka disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian seperti dilaporkan Harian Metro.

Boon Keng berkata tanah runtuh disedari pekerja resort pada jam 1 pagi dan ketika kejadian hanya empat bilik berpenghuni.

“Pekerja kemudian meminta semua tetamu resort mengosongkan bilik dan mendapati dua mangsa tiada yang berkemungkinan berada dalam bilik jakuzi serta tidak dapat dihubungi,” katanya.

Susulan itu, katanya, pekerja tersebut masuk ke dalam villa berkenaan dengan memanjat tembok sebelum mendapati bilik jakuzi tertimbus dengan tanah.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

Difahamkan mangsa maut adalah Ooi Chee Wei, 39, and Lee Tze Jun, 32. – Malaysiapost