Pahang benarkan maahad tahfiz, sekolah pondok beroperasi

0
2

KERAJAAN Pahang membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri itu untuk terus beroperasi dengan syarat pelajarnya tidak dibenarkan keluar dari kawasan pusat pengajian.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri turut menetapkan guru dari luar Pahang khususnya dari zon merah tidak dibenarkan kembali ke maahad dan sekolah untuk mengajar.

“Keputusan ini bergantung kepada keadaan. Jika ada saja kes jangkitan baharu di maahad dan sekolah, maka arahan berhenti operasi akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersyukur kerana Pahang menjadi antara antara tiga negeri yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun, katanya, langkah membendung penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri itu akan terus dilakukan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi tertentu bermula Rabu ini bagi menyekat aktiviti rentas sempadan negeri terutama dari zon merah.

“Langkah ini bukan bertujuan menyusahkan rakyat tetapi demi memutuskan rantaian pandemik ini yang sehingga kini belum ada vaksin ditemukan sebagai penawar.

“Bagaimanapun, PDRM masih mempunyai budi bicara dalam memberi kelonggaran kes tertentu seperti kecemasan dan kematian,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu ditutup mulai hari ini sebagai langkah memutuskan rantaian penularan Covid-19. – Malaysiapost