SERAMAI 30 individu diarah berpatah balik selepas cubaan memasuki Kelantan tanpa surat kelulusan daripada pihak polis.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata kesemua mereka itu diarah berpatah balik ketika melalui dua sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Puteh.
“Tidak sampai 24 jam SJR dilakukan, sudah 30 individu diarah berpatah balik kerana tiada surat polis.
“Kesemua mereka dari arah Terengganu dan selepas mendapati tiada surat polis, kita terpaksa mengarahkan mereka berpatah balik,” katanya.
Shafien berkata, dua SJR lagi iaitu di Jeli dan Gua Musang, kesemua pemandu dari luar negeri mematuhi arahan dan mempunyai surat kebenaran.
“Kita akan memperketat kawalan SJR di empat lokasi dan hanya membenarkan individu yang mempunyai surat kebenaran sahaja yang boleh keluar masuk ke Kelantan.
“Patuhilah SOP yang ditetapkan dan jangan sesekali cuba merentas negeri tanpa mempunyai surat kebenaran,” katanya. – Malaysiapost

