Aswaja, Perkid bantah ABPBH

0
2

PERTUBUHAN Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) menyifatkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang bakal diadakan pada 13 November ini, tidak mendatangkan faedah.

Presiden Aswaja, Dr Zamihan Mat Zin berkata, jika masjid dan surau perlu ikut prosedur operasi standard (SOP), perkara melibatkan artis dan populariti pula seolah-olah tidak dihiraukan pula.

“Kalau nak solat perlu ikut pelbagai SOP. Tapi kalau nak masyhurkan artis semuanya beres BossKu?,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu meneliti sebarang program berbentuk hiburan kerana ia tidak membawa faedah kepada negara yang sedang mengalami konflik penularan Covid-19.

“MKN sewajarnya mencari rahmat Allah dgn program zikir, berselawat, munajat dan doa.

“Bukannya membiarkan majlis2 lagha yang tidak berfaedah utk ummah! Allahu Allah!,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perkid, Masridzi Sat pula berkata, dengan keadaan negara masih dibelenggu pandemik Covid-19, ada pihak masih fikir mengenai hiburan dan populariti.

“Sekarang bukan musim membina popular artis atau hiburan yang tak berfaedah, sekarang musim bantu frontliner (petugas barisan hadapan).

“Dan cari alim ulamak untuk istighosah, solat hajat dan doakan agar bala penyakit Covid-19 yang menimpa negara kita diangkat segera oleh Allah agar kehidupan rakyat dalam negara kita pulih semula seperti biasa,” katanya.

Beliau berharap anugerah berkenaan dibatal oleh kerajaan kerana dianggap tidak membawa faedah.

Majlis pelancaran ABPBH ke-33 bakal dilancarkan secara maya di Facebook dan Youtube BH Jumaat ini, jam 9 malam.

ABPBH kali ini mengangkat tema #ABPBHKITA2020, bakal diadakan dalam budaya norma baharu berikutan penularan pandemik Covid-19 di Malaysia. – Malaysiapost