TINDAKAN pembangkang menyerang kerajaan berhubung penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sudah dijangka, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata ini kerana pembangkang sudah mula menjangka kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap segala ‘serangan’ dilakukan mereka.
“Belum lagi kerajaan muktamadkan corak dan struktur JASA baharu yang dijangka bermula hanya tahun depan, pembangkang sudah keresahan tahap maksimum,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Terdahulu, pelbagai pihak mempersoalkan langkah kerajaan mewujudkan semula JASA termasuk menyalurkan peruntukan lebih RM81 juta menerusi Belanjawan 2021.
Ini termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz membatalkan peruntukan kepada JASA dalam Belanjawan 2021.
Antara lain, katanya, peruntukan tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan akibat pandemik Covid-19.
Dalam ciapan berasingan, Annuar berkata beliau yakin Ahli Parlimen Umno dan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta lain-lain dalam Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan peluang keemasan dalam perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat.
Ini, katanya, untuk memberi teguran dan cadangan yang baik kepada kerajaan.
“Saya yakin mereka lebih berupaya dari pembangkang yang dulunya gagal, sengaja mencari salah tanpa hujah yang kukuh,” katanya. – Malaysiapost

