JASA tetap dikaitkan dengan politik – Puad Zarkashi

0
3

WALAUPUN Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) didakwa bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi kerajaan secara strategik, ia tetap dikaitkan dengan politik.

Bekas Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah tidak perlu bersikap defensif kononnya JASA tiada kaitan dengan politik.

Katanya, isu utama dibangkitkan adalah peruntukan RM85.5 juta kepada JASA terlalu besar hingga menjadikan Belanjawan 2021 tidak sensitif kepada keutamaan sedangkan negara masih berdepan ancaman Covid-19.

“Sememangnya “Government of the day” memerlukan beberapa agensi sebagai lidah penyampai dasar dan inisiatif kerajaan. Apa salahnya?.

“DAP paling takut dengan JASA kerana memiliki pasukan komunikasi strategik yang efektif. Sebab itu DAP tutup JASA sebagai balas dendam kerana JASA paling aktif menjawab pembohongan DAP melalui media sosial,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Puad berkata, JASA tidak perlu peruntukan sebesar RM85.5 juta kecuali kalau ada tujuan lain.

“Perdana Menteri kena jawab secara terperinci di Parlimen. Saifuddin mengakui dengan jumlah besar itu JASA akan mengambil staf lebih ramai.

“Apakah mereka akan menjadi jentera parti Bersatu di setiap DUN yang berhadapan masalah kekurangan cawangan dan ahli akar umbi untuk menghadapi PRU ke-15,” soalnya.

Beliau pada masa sama, mencadangkan supaya kerajaan membuat pindaan sebelum bajet itu diluluskan.

“Ikut siling tahun 2018 atau dikurangkan sikit,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Berita Harian