Penubuhan JASA, jangan buat andaian, tunggu penjelasan kerajaan – Annuar

0
3

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa minta ahli politik menghentikan polemik dan dakyah tidak tepat berhubung kewujudan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tahun depan.

Katanya, beliau percaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengembalikan jabatan itu dalam bentuk ‘wajah’ baharu, malah mungkin menggunakan nama lain.

Secara peribadi, menurutnya, beliau menganggap PN mempunyai idea tertentu dan tidak akan menghidupkan JASA dalam bentuk lama yang akan mula beroperasi Januari 2021.

“Saya yakin kerajaan mempunyai idea tertentu, kerajaan akan membawa kertas jemaah menteri, kerana setakat ini belum ada lagi bentuk yang baharu sebab dia (JASA) dah dimatikan.

“Jadi, bila nak hidupkan balik, tidak semestinya dihidupkan dalam keadaan yang lama, jangan cepat buat andaian, kena tunggu penjelasan kerajaan dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO empat peringkat di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, di Kota Bharu.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, JASA yang sebelum ini ditempatkan di bawah Kementerian Penerangan kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Tambah beliau, apabila bajet diluluskan akan ada kertas kabinet dan cadangan yang akan diambil kira bagi merangka sesuatu tindakan, malah pihaknya sudah mengadakan dua kali perbincangan dalam tempoh seminggu untuk mencapai kata sepakat.

“Saya minta jangan prejudis kerana ada sesetengah itu mendakwa JASA ditubuhkan semula untuk mematikan UMNO, itu juga satu telahan yang tidak baik sebab JASA belum ditubuhkan.

“Beberapa bekas kakitangan JASA ada dilantik secara gaji harian, mungkin 100 ke 200 atau puluhan yang dilantik dengan gaji asas sahaja, bajet tak ada.

Jadi, lantikan itu hanya menggunakan peruntukan sedia ada, pelantikan baru hanya boleh dibuat pada tahun hadapan kerana tugas jabatan ini membantu menyebarkan dasar yang dibuat kerajaan kepada masyarakat,” katanya.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, dia turut meminta ahli BN mendokong dan menjunjung apa juga keputusan dibuat Majlis Tertinggi (MT) sebagaimana kenyataan media yang ditandatangani Presiden parti merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Penubuhan semula JASA mendapat pelbagai reaksi khususnya di kalangan ahli politik selepas kerajaan PN mengumumkan peruntukan RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021, untuk menghidupkan semula jabatan itu selepas ditamatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu berkata, jabatan itu akan menerima peruntukan di di bawah belanjawan komunikasi strategik sebanyak RM4 juta dan peruntukan kedua RM81.5 juta di bawah dasar baru. – Malaysiapost