Agong zahir takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Bakar

0
3

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak dan Olimpian negara, Datuk Mohamad Bakar, yang telah kembali ke Rahmatullah pada pagi hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarganya sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Istana Negara menerusi kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada bola sepak negara.

Allahyarham memulakan karier sebagai pemain Pulau Pinang pada sekitar 1960-an dan menyinari persada sukan bola sepak negara sebagai pemain kebangsaan pada era 70-an.

Allahyarham merupakan ahli skuad bola sepak kebangsaan, sebagai pemain sayap kanan, yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Selepas itu beliau menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980, sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 1985. – Malaysiapost