Rakyat Malaysia antara 7 kes import di Singapura

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura mengesahkan seorang rakyat Malaysia berusia 36 tahun merupakan antara tujuh kes import Covid-19 yang diumumkan semalam.

Diletakkan sebagai kes 58,239, beliau merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia.

Beliau merupakan antara lima yang tidak begejala dan telah dikesan daripada saringan dan pemerhatian kementerian itu, manakala dua lagi bergejala, lapor Bernama.

Kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu menyatakan kesemua kes import itu telah diletakkan di bawah Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura

Singapura melaporkan tujuh kes baharu semalam dengan semuanya kes import menjadikan jumlah keseluruhan 58,054.

Sehingga kini Singapura mengklasifikasikan 1,238 sebagai kes import, 2,270 kes komuniti dan 54,501 kes pekerja tinggal di asrama pekerja.

Kluster Westlite Toh Guan Dormitory di Toh Guan Road East, telah ditutup pada Sabtu, selepas tiada lagi kes baharu selepas tempoh inkubasi 28 hari.

Kesemuanya, 57,968 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 34 kes yang disahkan masih berada di hospital namun tidak berada di unit rawatan rapi.

Sementara 24 yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini 28 orang maut akibat komplikasi Covid-19 di republik itu, dengan dua yang pertama dilaporkan pada 21 Mac. – Malaysiapost