‘RM500 nak ke pasar sebulan pun tak cukup’

0
3

PEMUDA Umno Johor mempertikai keputusan kerajaan yang hanya membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, berkata pengeluaran pada kadar RM500 sebulan untuk 12 bulan itu mendapat banyak rungutan daripada rakyat yang semakin terdesak akibat bencana Covid-19.

Katanya, apa yang diharapkan rakyat adalah pengeluaran simpanan KWSP melalui Akaun 1 secara ‘one off’ sebanyak RM10,000 atau RM5,000.

“Jika tidak secara ‘one off’, pengeluaran sewajarnya dibenarkan sekurang-kurangnya sebanyak RM2,000 sebulan untuk tempoh masa selama lima bulan, ia memadai untuk membantu kebajikan rakyat.

“Dengan pengeluran RM500 seperti diumumkan dalam Bajet 2021 itu, ia mungkin sekadar ‘cukup makan’ dan tidak membantu rakyat yang begitu terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebih mengecewakan rakyat, kemudahan yang tidak seberapa itu dilakukan pula secara bersasar hanya untuk mereka yang hilang pekerjaan.

“Bagaimana pula dengan mereka yang bekerja atau berniaga namun menghadapi kesempitan hidup berikutan pandemik Covid-19?

“Jika apa yang dikatakan Perdana Menteri sepatutnya dan sewajarnya beliau melihat skop yang lebih besar, iaitu membuka permohonan kepada semua pencarum untuk mengeluarkan secara bersasar dengan pilihan mereka sama ada RM1,000 ataupun RM2,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, bagi golongan M40, pengeluaran KWSP Akaun 1 itu paling diharapkan dalam Bajet 2021 namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Sementara itu, beliau berpendapat kerajan seharusnya membantu rakyat dengan mengurangkan tekanan sara hidup ketika krisis ekonomi dengan memastikan kitarannya berlaku.

“Pemberian moratorium bukan sahaja mengurangkan bebanan sara hidup, tetapi dapat memastikan rakyat berbelanja sekali gus dapat menggerakkan ekonomi negara.

“Tetapi, rakyat sekali lagi kecewa apabila tiada pemberian moratorium secara automatik seperti yang diberikan pada April hingga September 2020 diumumkan dalam Bajet 2021,” katanya. – Malaysiapost