Muhammad Mustakim Ramli
PUTERI Umno mengulangi pendirian meminta kerajaan supaya meluluskan kebenaran pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, pengumuman Belanjawan 2021 semalam hanya untuk golongan bersasar iaitu membabitkan 600,000 pencarum.
“Kami konsisten dengan permintaan sebelum ini iaitu pengeluaran 30 peratus atau had maksimum RM10,000 wang KWSP dikreditkan secara bulanan kepada pencarum.
“Kalau perlu pencarum boleh mohon, kalau tidak, simpanan tidak diusik. Bukan dengan menghadkan hanya sebilangan pencarum yang layak.
“Soalan saya, jika had kepada hanya 600,000 pencarum, siapa sahaja yang layak? Bilangan itu, berapa peratus daripada keseluruhan rakyat yang terbeban dan perlukan kewangan?,” katanya.
Semalam, Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ini adalah bagi membantu pencarum yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.
Katanya, mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestasi serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000. -Malaysiapost
