Covid-19: Pekerja disyaki positif, Ikea Damansara ditutup sehari

0
3

PUSAT membeli belah, Ikea Damansara ditutup hari ini selepas seorang pekerja sambilannya disyaki dijangkiti Covid-19.

Ikea menerusi satu kenyataan berkata, syarikat tersebut dimaklumkan seorang petugas disyaki dijangkiti Covid-19 semalam, dan kini di bawah jagaan pihak berkuasa untuk menjalani ujian.

“Sebagai tindakan pencegahan proaktif, cawangan kami akan ditutup pada 7 November (hari ini) untuk menjalani kerja-kerja sanitasi dan pembersihan, sesuai dengan standard Kementerian Kesihatan.

“Cawangan kami akan beroperasi semula pada 8 November (esok),” katanya hari ini.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, kali terakhir pekerja berkenaan bertugas di premis tersebut ialah pada 30 Oktober lalu.

Justeru itu, Ikea kini bekerjasama dengan pegawai kesihatan dan akan mengikut nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Tambahnya, Ikea akan terus memastikan semua langkah pencegahan dilakukan di cawangan kami untuk memastikan keselesaan dan keselamatan semua orang.

“Langkah-langkah ini termasuk aplikasi MySejahtera untuk menjejaki kontak, penanda penjarakan fizikal, pengimbas suhu di semua pintu masuk dan menyediakan sanitizer.

“Kami juga menggalakkan semua orang melakukan kewajipan mereka dengan menyokong dan mengikut arahan kerajaan untuk mencegah penyebaran Covid-19,” katanya. -Malaysiapost