Muhammad Mustakim Ramli
DEWAN Pemuda PAS Malaysia (Dppm) menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai usaha baik kerajaan untuk pemerkasaan dan penyusunan semula ekonomi negara.
Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, Belanjawan Pengembangan mampu membawa kesan penggandaan tinggi kepada ekonomi negara.
Ketuanya, ia bertepatan dengan keperluan negara mendepani situasi yang belum pernah dihadapi serta berupaya mendokong tiga matlamat utama yang digariskan iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
“Pemuda PAS juga merasakan belanjawan ini sangat menyeluruh dengan capaian maksima manfaatnya kepada rakyat Malaysia serta berjaya menggariskan inisiatif mengikut keutamaan bagi menghadapi situasi semasa dan mendatang yang penuh cabaran.
“Pemuda PAS juga ingin merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana mendengar pandangan daripada semua pihak termasuklah pihak pembangkang.
“Inilah tanda jiwa besar pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong bagi mencapai kata sepakat dan mengenepikan perbezaan politik untuk bersama berhadapan dengan kesemua cabaran negara dan menjaga rakyat dengan lebih serius,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, Pemuda PAS menyokong penuh Belanjawan 2021 dan bagi menjadikan belanjawan ini benar-benar belanjawan perpaduan, pihaknya menyeru Ahli Parlimen agar berbahas dengan matang dan sihat serta meletakkan kepentingan rakyat benar-benar di hadapan.
“Pemuda PAS akan terus mengikuti perkembangan perlaksanaan Belanjawan 2021 ini terutamanya di peringkat kelulusan di dalam Sidang Dewan Rakyat dan mengingatkan semua Ahli Politik dan Ahli Parlimen terus menyokong Belanjawan ini agar kelebihan untuk perolehan rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna,” katanya.-Malaysiapost

