PERUNTUKAN lebih RM3 bilion untuk mendapatkan sumber vaksin Covid-19, sangat penting dan amat dinanti-nantikan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, selain peruntukan itu, penyertaan negara ke dalam program Covid-19 Vaccine Global Access atau COVAX membantu untuk membuat tempahan awal.
“(Ini) bagi mendapatkan vaksin yang selamat dan berkesan berdasarkan data dari ujian klinikal fasa ketiga,” katanya menerusi ciapan ringkas di Twitter.
Beliau adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentang Belanjawan 2021 semalam dijangkakan bekalan vaksin Covid-19 membabitkan kos lebih RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, Khairy dilaporkan berkata harga maksimum vaksin Covid-19 ditawar kepada Malaysia menerusi COVAX adalah AS$21 atau RM87.60 bagi setiap satu.
Beliau berkata rundingan proses perolehan vaksin itu kini berada di peringkat terakhir dan kerajaan kini meneliti beberapa klausa perjanjian dalam COVAX sebelum menyertainya secara rasmi. – Malaysiapost

