Bantuan Khas RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 ke bawah

0
2

KERAJAAN mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

Bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen, Bantuan Khas Kewangan RM300 akan diberikan.

“Kedua-dua bantuan akan dibayar pada awal 2021,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada 40,000 penerima.

Katanya, kerajaan prihatin aspek kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam lebih-lebih lagi dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.

“Anggota barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, tentera, bomba, RELA, petugas JKM dan ramai lagi yang telah membanting tulang empat kerat, berkorban juang memerah keringat, dengan sepenuh kudrat, demi menjamin kesejahteraan kita semua, Warga Malaysia!

“Kini, ramai antara mereka diamanahkan untuk melaksanakan tugas di Sabah. Marilah kita mendoakan rakyat di Sabah dan seluruh anggota barisan hadapan supaya dapat mengharungi situasi sukar ini dan diberikan perlindungan oleh-Nya,” katanya.

Berikutan itu, Tengku Zafrul berkata bagi menambah baik kemudahan anggota perkhidmatan awam, inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan mulai 2021; dan

Kedua: Memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga RM100 kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi tahun 2021 dan 2022. – Malaysiapost