Suami pensyarah didapati curang – polis

0
3

Suspek kes bunuh pensyarah didapati curang, menyebabkan wanita itu memfailkan pengesahan perceraian sebelum mayatnya ditemui di dalam kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suami mangsa berusia 41 tahun itu didapati menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku masalah dalam rumah tangga mereka sehinggalah berlaku pembunuhan itu.

“Setakat ini suspek masih direman dan soal siasat sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, sepasukan penyelam daripada Unit Selam Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerah ke Tasik Perdana Putra sejak pagi tadi bagi mencari telefon bimbit milik pensyarah wanita berkenaan.

Suspek juga dibawa ke lokasi sekitar jam 11 pagi tadi bagi membantu siasatan.

Sebelum ini dilaporkan suspek yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian, tergamak membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu.

Suspek turut berpura-pura mencari isterinya, 40, bersama anak perempuanya berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.