Parlimen: KKM bimbang penularan Covid-19 di kalangan wakil rakyat, petugas

0
2

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah bimbang jika kehadiran Ahli Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat ketika ini boleh mencetuskan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan itu juga berkata sehubungan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah menghadkan jumlah kehadiran Ahli Parlimen dan petugas yang terlibat.

“Walaupun ujian saringan Covid-19 diwajibkan untuk setiap individu yang terlibat di Dewan Rakyat, risiko penularan masih berlaku.

“Kebimbangan kita (KKM) ialah Ahli Parlimen itu datang dari seluruh negara berhimpun di satu kawasan (Parlimen).

“Walaupun kita sudah jalankan saringan tiga hari sebelum sidang bermula tapi mereka masih terdedah di komuniti,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Menurut beliau, ini kerana kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebagai contoh, sekarang ini Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah kawasan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan kemungkinan mereka boleh terdedah kes positif tidak bergejala di luar,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut mengesyorkan ujian saringan dilakukan setiap dua minggu kepada Ahli Parlimen, petugas dan pegawai kerajaan yang perlu menghadiri sidang berkenaan.

“Tindakan ini bertujuan mengelakkan sidang Dewan Rakyat tergendala berikutan terdapat kes positif selain memastikan Parlimen bebas penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.