Tiga lagi mukim dikenakan PKPB mulai lusa

0
2

Nurul Huda Abhar

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di tiga kawasan iaitu mukim Parit Buntar, Perak; mukim Rasau, Dungun di Terengganu; dan mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ia susulan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dipersetuji kerajaan untuk melaksanakan PKPB di tiga mukim tersebut berkuat kuasa 7 sehingga 20 November 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di tiga mukim tersebut.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB bagi mukim-mukim ini sama seperti diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang MKN.

“Perincian berkenaan dengan sempadan yang terlibat boleh dirujuk kepada MKN negeri masing-masing,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Pokok Sena, Kedah akan ditamatkan pada 7 November.

Ini kerana, katanya, saringan KKM terhadap staf dan penghuni kuarters mendapati tiada kes positif Covid-19 baharu direkodkan dalam tempoh tujuh hari terkini. – Malaysiapost