Kerajaan pertimbang mohon darurat di kawasan pilihan raya

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memohon pengisytiharan darurat untuk kawasan tertentu yang terlibat dengan pilihan raya.

Menteri undang-undang itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memohon pengisytiharaan itu dengan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut keperluan.

“Dalam Artikel 150 jelas Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk adakan proklamasi darurat seluruh negara atau mana-mana bahagian, sekiranya dirasakan perlu mungkin kerajaan akan fikirkan.

“Kalau tak keseluruhan, mungkin mana-mana bahagian, pokoknya dari segi perlembagaan ia dibolehkan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Takiyuddin menjawab soalan Hassan Karim (PH – Pasir Gudang), sama ada kerajaan bercadang menghadap Yang di-Pertuan Agong sekali lagi supaya diisytihar darurat di Batu Sapi dan Sarawak bagi menangguhkan kedua-dua pilihan raya.

Menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Sementara itu, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). – Malaysiapost