ERRA Fazira selamat melangsungkan pernikahan dengan suaminya, pagi tadi.
Majlis akad nikah berlangsung di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam tempoh tidak melebihi 20 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Bagaimanapun, wanita itu bukanlah pelakon terkenal tanah air yang pernah membintangi filem Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam.
Berkongsi mengenainya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turun padang melihat proses pernikahan mengikut SOP berkata, beliau pada mulanya terkejut melihat nama Erra Fazira.
“Nama kebetulan sama, namun bukan individu yang disangka. Saya pun mula-mula terkejut. Ingatkan pelakon filem Sembilu.
“Moga ikatan perkahwinan diberkati Allah SWT, berbahagia dengan pasangan masing-masing dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah,” katanya menerusi Facebooknya.
Dalam hantaran berasingan, Dr Zulkifli berkata, beliau pagi tadi melakukan lawatan mengejut ke tapak majlis akad nikah di JAWI.
“Saya sempat meninjau SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan Alhamdulillah saya amat berpuas hati dengan taklimat yang diberikan.
“Insya-Allah saya akan umumkan SOP akad nikah terbaharu bagi Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost


