Istanbul Basaksehir ragut maruah Man U

0
3

MANCHESTER United membayar harga yang mahal berikutan persembahan longlai barisan pertahanan mengakibatkan kekalahan memalukan 2-1 dalam Liga Juara-Juara berdepan Istanbul Basaksehir, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer, yang berdepan kesukaran dalam Liga Perdana, memulakan kempen Eropah dengan gaya tersendiri apabila mengatasi Paris Saint-Germain dan membelasah RB Leipzig 5-0.

Namun kekalahan di Turki memberikan kemenangan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat Basaksehir.

Kekalahan itu menambah tekanan buat bos dari Norway itu dengan skuad kendaliannya kurang inspirasi dan pertahanan buruk di Istanbul.

Memetik laporan AFP, Solskjaer berkata persembahan United “tidak cukup bagus, berdepan pasukan yang bekerja keras dan berlari.”

“Mereka memberi ancaman kepada kami beberapa kali, dan menjaringkan dua gol seperti sesuatu berlaku di Eropah apabila anda tidak bertahan dengan cukup bagus,” katanya kepada BT Sport.

Tambahnya: “Anda tidak boleh bermain dan mendapat tiga mata dalam Liga Juara-Juara, dan mereka menunjukkannya di sini hari ini. Kami tidak cukup bagus, itu sahaja.”

Kelemahan juara tiga kali itu terdedah ketika bekas penyerang Chelsea, Demba Ba dan Edin Visca memberi tuan rumah dua gol awal.

United memberikan harapan apabila mengurangkan defisit sejurus sebelum rehat menerusi tandukan Anthony Martial.

Walaupun membuat beberapa pertukaran pada babak kedua dan serangan bertali arus, skuad kendalian Solskjaer tidak mampu melepasi pertahanan kukuh Basaksehir. – Malaysiapost