NYANYIAN syahdu oleh banduan penjara mengiringi petugas barisan hadapan meninggalkan Penjara Alor Setar, Kedah.
Video menerusi aplikasi Tik Tok berdurasi 59 saat tular di media sosial, menunjukkan petugas barisan hadapan meninggalkan penjara berkenaan.
Lagu dendangan penyanyi asal, Harry Khalifah berjudul Doa Wira Negara itu dinyanyikan sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang melakukan saringan bagi Kluster Tembok.
Pautan video tersebut turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya, malam tadi.
“Penghargaan kepada petugas kesihatan barisan hadapan yang selesai menjalankan amanah menyaring dan menguji Kluster Tembok di Penjara Alor Setar.
“Setelah selesai menjalankan tugas mereka keluar diiringi nyanyian daripada banduan-banduan menghargai keringat dan titik peluh setiap petugas.
“Frontliners You Are The Real Heroes…,” kata Dr Noor Hisham.
Penjara tersebut dihuni kira-kira 1,800 banduan dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran bermula 6 Oktober lalu, susulan peningkatan kes positif Covid-19. – Malaysiapost

