Bekas Pengerusi SPA antara 3 dilantik dalam EAIC

0
3

Fitri Nizam

BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam antara tiga individu dilantik anggota Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkuat kuasa semalam.

Dua lagi individu yang dilantik adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata pelantikan ketiga-tiga individu terbabit berkuatkuasa selama tiga tahun.

“Selaras subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memperkenankan pelantikan mereka.

“Pelantikan ini melengkapkan barisan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan sedia ada yang diterajui oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan (Pengerusi), Tan Sri Datuk Zainun Ali (Timbalan Pengerusi), Datuk John Louis O’hara dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, barisan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ini pasti akan terus memacu matlamat dan komitmen EAIC memartabat integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan seliaan. – Malaysiapost